Tuesday 7 February 2012

Proton Exora Bold 1.6 Premium CVT menepis kritikan, enjin CFE kini lebih berkuasa!

Proton Holdings Berhad telah melangkah setapak lagi dalam memberikan produk dengan nilai belian terbaik kepada para pelanggannya. Itu yang aku rasakan apabila model terbaru Proton Exora Bold 1.6 Premium CVT telah dilancarkan pada tarikh 16 Disember 2011 (Jumaat) yang lepas. Turut dilancarkan pada hari tersebut ialah varian premium tertinggi iaitu Proton Exora Prime 1.6 Premium yang mempunyai beberapa perbezaan spesifikasi berbanding Exora Bold 1.6 Premium, termasuklah pengenalan varian Exora Bold 1.6 Manual dan Automatik 4AT. Untuk makluman, Proton Exora Bold mahu pun Prime bukanlah sebuah model yang dibangunkan baharu sepenuhnya, tetapi merupakan model naik taraf (facelift). Proton juga masih menjual Proton Exora 1.6 Standard Manual dengan ciri-ciri asas dan harga yang lebih rendah.
Antara yang paling menarik perhatian dan mengujakan semua pihak ialah berkenaan pengenalan enjin generasi terbaru CFE (Charge Fuel Efficiency) untuk varian Bold 1.6 Premium CVT dan Prime, dibina berasaskan enjin CamPr0 CPS pada model Exora sebelumnya namun dibantu sistem turbo yang buat pertama kali diperkenalkan dengan kuasa yang cukup agresif. Berbanding kuasa 125hp dan 150Nm tork maksimum pada model terdahulu yang dikatakan kurang berkuasa dan sering menerima kritikan, enjin CamPro CFE kini menghamburkan kuasa kuda setinggi 138hp@5,000rpm dan tork maksimum meningkat dengan ketara kepada angka 205Nm pada putaran enjin bermula serendah 2,000rpm.
Dengan kuasa yang cukup membanggakan itu, tidak syak lagi Proton Exora Bold 1.6 Premium kini tidak lagi menghadapi masalah kekurangan kuasa untuk bergerak dari sifar ke 100 km, apatah lagi untuk melakukan pecutan pantas di atas lebuh raya, atau ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya di dalam bandar. Bukan itu saja, enjin CFE yang mampu memecut dari 0-100km/j dalam tempoh 11.3 saat itu juga dilengkapi sistem transmisi yang boleh dikatakan antara yang termaju di dunia. Proton Exora Bold 1.6 Premium didatangkan standard transmisi dari jenis CVT dengan 6-kelajuan, memberikan pecutan lancar dan bertenaga, seterusnya mampu menjimatkan penggunaan petrol melalui kepintaran pemilihan nisbah gear yang tepat sewaktu pemanduan.
Beralih ke bahagian luaran, Proton Exora Bold 1.6 Premium kini tampil lebih bergaya dengan perubahan melibatkan bahagian bampar dan jeriji depan, termasuk perubahan di bahagian belakang yang melibatkan bampar dan lampu combi. Bagi aku sendiri, rupa wajah Proton Exora Bold 1.6 Premium jika dilihat secara keseluruhannya begitu menarik berbanding generasi Exora terdahulu. Exora Bold 1.6 Premium kelihatan lebih garang dan sporty, juga kelihatan lebih mewah. Lampu depan dengan perumah dalaman yang dihitamkan, termasuklah lampu combi belakang yang kini menerima kesan khas ‘smoked’, menjadikan penampilan Exora Bold kelihatan begitu kemas dan bergaya. Tidak dilupakan perubahan rim aloi dari 15 inci kepada 16 inci, menjadikan penampilan Exora Bold 1.6 Premium lebih gagah dan mantap di atas jalan raya.
Melihat ke bahagian dalaman Exora Bold 1.6 Premium, kemasan yang dikenakan terhadap model itu juga berada pada tahap yang cukup memuaskan. Kesemua tempat duduk menerima balutan kulit yang kelihatan begitu elegan melalui penggunaan dua tona warna, termasuk kemasan baharu di bahagian panel pintu yang menampakkan ciri lebih mewah. Roda stereng juga kini diperkemaskan dengan balutan kulit untuk pegangan yang lebih selesa dan lebih rasa kemewahan. Bahagian papan pemuka tetap kelihatan kemas walaupun masih mengekalkan rekabentuk yang lama. Antara ciri terbaru di bahagian dalaman ialah pengenalan skrin monitor kecil di cermin pandang belakang yang membantu pemandu untuk mengundurkan kenderaan, melalui sistem berkamera yang dipasang di bahagian pintu bonet belakang.
Antara ciri-ciri terbaru lain yang melengkapi Exora Bold 1.6 Premium ialah cermin sisi boleh lipat eletrik. Dengan hanya satu sentuhan butang, cermin sisi tersebut boleh dilipat masuk ke dalam, memudahkan pemandu jika memerlukan sewaktu meletak kenderaan di ruang parkir yang sempit. Paparan monitor mudah alih sistem navigasi GPS juga disediakan untuk varian Bold Premium untuk lebih kemudahan ketika memandu ke sesuatu destinasi. Tidak dilupakan ciri-ciri keselamatan yang amat diperlukan untuk sebuah MPV berkuasa turbo ini. Proton Exora Bold 1.6 Premium kini dilengkapi brek cakera di ke semua bahagian roda, lengkap dengan sistem ABS dan EBD. Sistem ‘ Lotus Ride & Handling’ yang menjadi kebanggaan Proton memberi nilai tambah untuk model MPV berkuasa dan tangkas ini, menjadikan pemanduan dan pengendaliannya begitu menyeronokkan, namun kekal lebih selamat.
Berkenaan harga, mungkin ada yang kurang bersetuju apabila harga untuk Exora Bold 1.6 Premium dengan enjin CFE dan transmisi CVT ini mencecah hampir RM80K, namun bagi aku dengan pelbagai ciri menarik yang ditawarkan, inilah belian terbaik di kalangan MPV dari pelbagai jenama yang berada di pasaran ketika ini. Harga tentatif OTR (on the road) yang dikemukakan oleh Proton ketika ini ialah sebanyak RM79,998.00, namun ada pendapat yang mengatakan harga ini mungkin akan dikurangkan apabila Proton menyemaknya semula pada bulan Januari 2012 depan. Bagi yang berminat untuk memiliki sebuah MPV untuk kegunaan keluarga, Proton Exora Bold 1.6 Premium bagi aku sudah melebihi keperluan setiap individu. Tempahan dan pandu uji sudah boleh dibuat di semua pusat edaran Proton Edar, namun pendaftaran hanya akan dilakukan pada minggu kedua Januari depan.
Harga tentatif OTR :
Proton Exora 1.6 Standard MT RM 59,998
Proton Exora Bold 1.6 Executive MT RM 70,998
Proton Exora Bold 1.6 Executive AT RM 74,998
Proton Exora Bold 1.6 Premium CVT RM 79,998
Proton Exora Prime 1.6 Premium RM 88,998


Hubungi Kami,
Mohd azil
Consultant Executive
HP 012-7752839
ejenloan@yahoo.com

No comments:

Post a Comment