"Nak pinjam ke tak nak pinjam..."     
 Ianya merupakan persoalan
 yang kadang kala sukar untuk dijawab oleh kebanyakan individu. 
Kebanyakan daripada kita akan perlu meminjam untuk membeli kereta 
pertama atau rumah pertama malahan ada antara kita yang meminjam untuk 
berkahwin. Sebagai golongan pengguna ramai di antara kita yang tidak 
tahu prinsip asas meminjam. Informasi di bawah ini menerangkan beberapa 
komponen utama di dalam proses meminjam.
Apakah komponen utama pinjaman?
Semua pinjaman, sama ada pinjaman kereta, pinjaman rumah atau pinjaman peribadi, terdiri daripada tiga komponen utama:
    * Kadar faedah
    * Cagaran
    * Tempoh
Kadar faedah
    * Kadar faedah ialah caj yang dikenakan oleh pemberi pinjaman kerana menggunakan duit mereka.
    * Biasanya kadar faedah ditunjukkan dalam bentuk peratusan daripada jumlah pinjaman dalam setahun.
    * Faedah yang dikenakan berdasarkan pengkompaunan (iaitu 
faedah-atas-faedah) dan ia boleh terdiri daripada pengkompaunan tahunan/
 bulanan/ harian (satu lagi istilah yang digunakan ialah kiraan atas 
baki tahunan/bulanan/harian).
Terdapat dua jenis kadar faedah
    * Tetap
    * Boleh ubah
Kadar tetap
Tetap dan tidak berubah. Jika kadar faedah tetap ialah 6% setahun, ia akan kekal 6% setahun sepanjang tempoh pinjaman.
Kadar boleh ubah
Boleh
 bertukar mengikut masa dan biasanya ditetapkan pada kadar pasaran 
standard, seperti Kadar Pemberian Pinjaman Asas, BLR (BLR terkini = 
6.75%). Sebagai contoh, anda mungkin mengambil pinjaman dengan kadar 
boleh ubah pada BLR + 1%. Ini bermakna, anda perlu membayar tambahan 
satu peratus kepada BLR atau berjumlah 7.75% setahun.
Jenis-jenis pinjaman
Bercagar
    * Ini merujuk kepada sama ada pemberi pinjaman menghendaki anda 
mencagarkan aset, biasanya dirujuk sebagai cagaran, untuk menjamin 
pinjaman anda.
    * Jika anda mempunyai pinjaman bercagar, 
bermakna pemberi pinjaman anda boleh merampas aset jika anda mungkir 
menjelaskan hutang pinjaman.
    * Oleh kerana terdapat cara 
alternatif pembayaran balik, faedah dalam pinjaman bercagar adalah lebih
 rendah berbanding dengan faedah pinjaman tidak bercagar.
    * 
Apabila anda membiayai pembelian kereta anda melalui pinjaman bank, anda
 sebenarnya adalah penyewa (bukan pemilik) kereta yang anda pandu 
sehingga anda selesai membayar sepenuhnya pinjaman anda.
    * 
Begitulah juga dalam kes pinjaman rumah, bank akan memiliki 'tuntutan 
pemilikan' terhadap rumah tersebut sehingga anda selesai membayar 
sepenuhnya pinjaman rumah.
Tidak bercagar
    * Dalam pinjaman tidak bercagar, tiada aset yang boleh dirampas oleh bank jika mungkir membayar balik pinjaman.
    * Pinjaman tidak bercagar selalunya mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi berbanding dengan pinjaman bercagar.
    * Untuk mengurangkan risiko, institusi pemberian pinjaman kadang 
kala menghendaki orang ketiga menandatangani perjanjian bagi pinjaman 
tidak bercagar atau menjamin jumlah pinjaman.
Tempoh pinjaman
    * Tempoh suatu pinjaman ialah jangka masa peminjam perlu membayar balik pinjaman.
    * Kebanyakan pinjaman peribadi/kereta mempunyai tempoh 3 ke 9 tahun,
 manakala tempoh pinjaman rumah adalah jauh lebih lama dan biasanya 
boleh mencapai sehingga 30 tahun.
    * Tempoh adalah jangka masa
 maksimum untuk peminjam membayar balik pinjaman mereka, pinjaman juga 
boleh dijelaskan sebelum tempoh tamat.
Prinsip asas meminjam
Berikut adalah beberapa prinsip asas meminjam.
Prinsip 1: Meminjam untuk sesuatu yang anda perlukan - bukan yang anda mahukan.
Anda
 hanya perlu meminjam untuk suatu yang anda benar-benar perlu tetapi 
tidak mempunyai duit tunai untuk membayarnya. Sebagai contoh, untuk 
membeli rumah, untuk membiayai pendidikan lanjutan anak-anak dan untuk 
membeli sebuah kereta.
Prinsip 2: Meminjam sejumlah duit di dalam kemampuan anda untuk membayar balik.
Ramai
 orang terlebih memberi komitmen dalam hutang kerana menyangka bahawa 
ekonomi akan terus berkembang dan situasi yang baik akan terus kekal. 
Tidak perlu dikatakan, bila tiba masanya, mereka ini akan menghadapi 
kesukaran untuk membuat bayaran balik dan perampasan kereta dan harta 
mula dikuatkuasakan.
Adalah disarankan bahawa seseorang patut 
menghadkan jumlah bayaran balik pinjaman kepada kurang daripada 1/3 
pendapatan kasarnya.
Prinsip 3: Elakkan daripada meminjam untuk membiayai aset yang susut nilai
Aset
 yang susut nilai adalah harta yang hilang nilainya mengikut masa, 
seperti kereta (melainkan jika anda melabur dalam kereta klasik), 
perabot dan kebanyakan barang dan peralatan rumah. Barangan ini akan 
susut nilai dengan cepat sementara pinjaman anda berkurangan dengan agak
 lambat. Dalam situasi di mana anda tidak dapat menjelaskan hutang, 
barangan tersebut akan dirampas dan anda mesti menambah nilai yang 
kurang kerana aset susut nilai anda tidak cukup untuk menjelaskan baki 
pinjaman.
Cuba membeli barang-barang ini secara tunai dari 
simpanan anda daripada meminjam. Jika tidak, jangan beli (melainkan ia 
akan menguntungkan perniagaan anda!)
Prinsip 4: Elakkan Daripada Menjadi Penjamin
Sseeorang
 penjamin bertanggungjawab menjelaskan pinjaman dalam hal apabila 
peminjam mungkir membayar balik pinjaman atas apa sahaja alasan. 
Melainkan seorang itu bersedia untuk menunaikan tanggungjawab ini, 
elakkan diri anda daripada menjadi penjamin.
Prinsip 5: Peminjam Mempunyai Komitmen Moral dan Mutlak Untuk Membayar Balik
Jika
 anda menghadapi kesukaran untuk membayar balik, berbincanglah dengan 
pemberi pinjaman agar dapat membuat pelan bayaran balik yang munasabah 
tetapi jangan sesekali diam atau lari dari membayar hutang pinjaman. 
Jika anda merasakan tidak mampu untuk membayar hutang pinjaman maka 
elakkan diri dari meminjam.
Kesimpulan
Jika anda perlu 
pinjam, pinjamlah! Walaubagaimanapun, pastikan anda sudah jelas memahami
 prinsip-prinsip meminjam sebelum memberi komitmen padanya. Setelah anda
 meminjam, hakikatnya anda telah membuat komitmen untuk membayar balik 
dan pastikan diri anda, sebagai seorang yang bertanggungjawab, 
menunaikan komitmen tersebut pada setiap masa.
 
No comments:
Post a Comment